Thursday, August 19, 2010

Dr Mahathir Minta Umat Islam Kuasai Ilmu Sains, Teknologi

Dr Mahathir Minta Umat Islam Kuasai Ilmu Sains, Teknologi
NILAI: Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata antara punca umat Islam lemah pada masa ini ialah kerana mereka tidak menjalankan ibadah untuk mencari ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Mantan Perdana Menteri berkata orang Melayu memang dituntut untuk belajar asas agama Islam tetapi tidak semua dikehendaki belajar sampai mendalam kerana perlu ada golongan yang mendalami ilmu lain.
"Menguasai fizik, sains dan matematik untuk pertahanan bukan bermakna umat Islam melupakan akhirat," katanya ketika berucap pada Syarahan Perdana Sempena 10 tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, Isnin.
Kira-kira 5,000 orang termasuk pelajar USIM menghadiri syarahan Dr Mahathir di Stadium Tertutup Nilai di sini.
"Kalau 1.6 bilion umat Islam di dunia ini pandai agama dan kesemuanya bertaraf ulama, perpecahan yang lebih teruk akan terjadi kerana masing-masing akan membuat tafsiran yang berbeza mengenai Islam mana yang lebih baik seperti yang terjadi ke atas golongan Sunni dan Syiah.
"Walaupun tidak semua tetapi kalau ada sekumpulan orang yang dapat kuasai ilmu teknologi dan sains pertahanan, ini sudah memadai untuk menyelamatkan satu masyarakat Islam seperti di Bosnia (Herzegovina) sebelum ini," katanya.
"Satu ketika dahulu orang Russia telah menewaskan umat Islam di Asia Tengah dan agama Islam digugurkan tetapi orang Islam tidak dapat buat apa. Inilah kesan dari kelemahan akibat kurang pengetahuan dalam ilmu-ilmu tentang pertahanan," katanya lagi.
Menurut Dr Mahathir, umat Islam di Malaysia juga perlu menguasai ilmu sains dan teknologi agar mereka mampu menghasilkan ciptaan sendiri tanpa meniru rekaan orang lain.
"Di mana sahaja seperti di Afghanistan, Iraq, umat Islam tertindas. Orang Islam dihina, saya sendiri pernah dihina dan disuruh buka kasut kononnya ada letupan dalam kasut saya," katanya.
Orang lain pun diperiksa tetapi ia tidak diperlakukan seperti orang Islam kerana mereka hari ini sudah dianggap pengganas, katanya.
"Apabila Nabi Muhammad s.a.w dianggap pengganas. Kita marah dan kita berdemontrasi tetapi ini sedikit pun tidak meninggalkan kesan terhadap musuh Islam kerana umat Islam pada hari ini sangat lemah," kata beliau. - BERNAMA
( Petikan dari mStar Online )



Related Articles by Categories


0 comments:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories